Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Terengganu (PPST), Fazru Anuar Yusof berkata, hukuman enam sebatan itu dilaksanakan mengikut kaedah dan peruntukan di bawah Seksyen 125, Enakmen 5, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah(Terengganu) 2001 yang bertujuan memberi pengajaran serta peringatan kepada pesalah.

Katanya, sebelum dilaksanakan oleh pihak Jabatan Penjara , kedua-dua pesalah terlebih dahulu diperiksa oleh pegawai perubatan kerajaan untuk diperakui diri mereka dalam keadaan kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman itu.

“Saya berpuas hati kerana semua urusan mengikut prosedur yang ditetapkan, akhir, dan dilaksanakan di hadapan pegawai perubatan kerajaan di samping penggunaan alat sebatan dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.

“Di samping itu, sebatan dilakukan dalam keadaan pesalah duduk (bagi perempuan) dan ia tidak mengenai muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit pesalah.

“Jadi saya berharap tiada mana-mana pihak akan mempersoalkan hukuman ini kerana ia dilaksanakan berdasarkan prosedur ditetapkan,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah.

Hukuman sebat ke atas pasangan berusia 32 dan 22 tahun bermula pukul 10 pagi dan selesai sepenuhnya kira-kira pukul 10.17 pagi ini.

Hukuman dijalankan di hadapan Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail dengan disaksikan Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd. dan Hakim Kanan Syarie Terengganu, Rosdi Harun.

Fazru Anuar menarik perhatian, hukuman itu tetap dijalankan kerana Mahkamah Tinggi Syariah tidak menerima apa-apa permohonan rayuan atau semakan dari kedua-dua pesalah dalam tempoh 14 hari selepas hukuman dijatuhkan. - UTUSAN ONLINE