Sahrir Suardin, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta suapan wang RM5,000 dan memperoleh RM1,000 daripada Mohd. Afifi Sazly Mohd. Radzi, 31.

Sahrir ketika kejadian bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju melakukan kesalahan itu di Lokap Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini dan di Blok D, Tingkat 3, IPD Wangsa Maju dekat sini antara pukul 9.20 pagi,17 Ogos 2017 dan pukul 8.55 pagi, 18 Ogos tahun lalu.

Wang tersebut didakwa sebagai dorongan untuk menukar Seksyen bagi kesalahan dadah kepada lebih ringan terhadap Mohd. Afifi Sazly. 

Sarjan didakwa terima rasuah
SAHRIR Suardin hadir ke Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang lelaki berhubung kesalahan dadah Ogos lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN ONLINE/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

Sahrir didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Nor Diana Nor Azwa manakala Sharir diwakili peguam Mohd. Shahrullah Khan.

Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan sebulan sekali dan menetapkan 9 November ini untuk sebutan kes. - UTUSAN ONLINE