Tertuduh, Mohamed Faruk Mohd. Hairul Guah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen, Tuan Ruzuani Tuan Lah itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Firdaus Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua lelaki berusia 31 tahun itu didakwa meminta dan menerima rasuah RM2,000 daripada Norhayati Seman untuk mengubah keputusan ujian air kencing Mohd. Ismadi Ismail yang positif methamphetamine.

Dua didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabat Penolong Pegawai Penyiasat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli pada 14 dan 15 November 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Malaysia (SPRM) 2009 yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu, Ahmad ‘Adha menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memohon dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Mohd Firdaus memohon jaminan dikurangkan kepada jumlah paling minimum dengan mengambil kira latar belakang anak guamnya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tuan Ruzuani menetapkan 21 Ogos depan untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE