Samirah,44, dilihat meninggalkan perkarangan mahkamah bersama tiga individu dipercayai ahli keluarganya dengan menaiki kenderaan jenis Volkswagen Sharan berwarna hitam kira-kira pukul 12.40 tengahari tadi.

Bagaimanapun, usaha pemberita untuk menemui Samirah gagal apabila dia keluar melalui laluan lokap yang terletak di aras bawah mahkamah.

Terdahulu, dua individu yang dipercayai ahli keluarga tertuduh hadir ke Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan untuk menyelesaikan urusan jamin dan dokumentasi kira-kira pukul 11.40 pagi.

Difahamkan, kedua-dua mereka merupakan penjamin yang menjelaskan wang jaminan sebanyak RM500,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan semalam.

Media semalam melaporkan, panel lima hakim yang diketuai oleh Tan Sri Azahar Mohamed membuat keputusan membenarkan Samirah diikat jamin sementara menunggu perbicaraan atas dakwaan membunuh suaminya, Nazrin Hassan.

Mahkamah turut menetapkan lima syarat terhadap Samirah iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada balai polis terdekat sekali dalam tempoh dua minggu.

Samirah juga perlu berada di dalam rumah dari pukul 6 petang hingga 8 pagi dan tidak boleh berada di sebarang tempat umum serta menghadiri sebarang majlis umum kecuali untuk tujuan keagamaan dan hal ehwal keluarga.

Selain itu, dia juga tidak boleh meninggalkan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya tanpa kebenaran mahkamah.

Pada 12 Mac lalu, Samirah dan dua remaja berusia 14 dan 17 tahun didakwa atas pertuduhan membunuh Nazrin di kediaman mereka di Mutiara Damansara dekat Petaling Jaya, kira-kira pukul 11.30 malam pada 13 Jun hingga 4 pagi, 14 Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua remaja itu dibenarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 21 Jun ini sebagai pengurusan kes, manakala 3 September depan sebagai tarikh perbicaraan. - UTUSAN ONLINE