Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohamad Salleh setelah Hakim Datuk Hue Siew Kheng selesai membacakan penghakimannya.

Dalam keputusannya, Hakim Siew Kheng berkata, artikel yang dipersoalkan itu sebenarnya tidak merujuk kepada Mohamad Salleh dan beliau selaku pihak plaintif telah gagal membuktikan bahawa kenyataan tersebut memfitnahnya.

Sebaliknya kenyataan itu me­nurut beliau, jika dibaca secara keseluruhannya adalah menyen­tuh tentang isteri Mohamad Salleh, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang merupakan bekas Ahli Parlimen kawasan tersebut.

Sungguhpun begitu, beliau berkata, Nurul Izzah yang dinama­kan sebagai defendan pertama membuat kenyataan tersebut atas kapasiti dan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen.

“Walaupun kenyataan itu adalah fitnah, namun pembelaan justifikasi adalah terpakai memandangkan ia dibuat tanpa niat jahat,” kata Hakim Siew Kheng ketika menolak tuntutan tersebut dengan kos RM80,000 untuk dibayar oleh Mohamad Salleh kepada pihak defendan.

Saman itu difailkan pada 24 Disember 2013 berikutan kenyataan Nurul Izzah dalam penerbitan di Malaysiakini TV yang disiarkan pada 7 Mac 2012 berhubung isu pembelian lapan unit kondominium di KL Eco City.

Selain Nurul Izzah, pihak plaintif turut menamakan Setiausaha Agung PKR ketika itu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai pihak defendan.