Nasaruddin Abdullah, 23, berkata, ketika kejadian dia nampak kira-kira 30 orang seakan-akan mengelilingi sesuatu selepas jentera Fire Rescue Team (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) me­ninggalkan kawasan rusuhan.

Katanya, selepas berpusing dia nampak beberapa orang India mengelilingi sesuatu tetapi tidak pasti sama ada orang atau objek sebelum terdengar kumpulan tersebut mencarut mengatakan “berani kau orang masuk dalam kuil India! B**i korang, p*****k” selain memaki hamun dalam bahasa Tamil.

“Saya memerhatikan gerak laku 30 orang ini dan terlihat lima hingga enam orang seolah-olah memukul seseorang sementara yang lain hanya menjerit. Selepas itu, saya terdengar ada orang menjerit dalam bahasa Tamil, “polis, polis” dan kumpulan terbabit berlari dari situ menuju ke arah kuil.

“Saya tidak nampak apa yang ada di situ kerana mencari rakan bernama Kartik kerana dia tiba-tiba hilang dan apabila memandang semula ke arah kumpulan tadi, saya nampak ada orang mengusung seseorang yang memakai seluar bomba.

“Keadaan cahaya tidak berapa terang tetapi masih boleh nampak. Saya pasti mereka se­olah-olah memukul,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah dalam prosiding yang memasuki hari ke-11 di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.