Majisret Saifullah Qamar Siddique Bhatti membebaskan tujuh penjawat awam iaitu masing-masing dengan jaminan RM10,000 manakala tiga orang awam pula tiap-tiap dikenakan dengan jaminan RM3,000.

Mereka yang terdiri daripada tujuh penjawat awam dan tiga individu yang berperanan sebagai orang tengah atau ‘runner’ sebelum ini direman empat hari sejak Selasa lalu.

Difahamkan, tujuh penjawat awam itu terdiri daripada seorang pegawai dan dua anggota polis; tiga kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Selain mereka, juga direman empat pemilik pusat urut selama lima hari bermula Selasa lalu.

Pada Isnin lalu, semua individu terbabit ditahan di 14 lokasi sekitar Lembah Klang kira-kira pukul 10 pagi hingga pukul 5 petang, penahanan itu merupakan hasil daripada risikan yang dilakukan sejak tiga bulan lalu.

Menurut sumber, dalam serbuan oleh 40 pegawai SPRM itu, tujuh penjawat awam dan tujuh orang awam ditahan selepas dipercayai terbabit melindungi dan menerima wang sogokan daripada pemilik pusat urut.

Katanya, wang sogokan yang diterima oleh semua suspek terbabit adalah secara bulanan dengan bayaran minimum RM1,000 diterima setiap bulan.

"Wang sogokan berkenaan sebagai perlindungan premis, ada perantara (orang awam) yang akan mengutip wang berkenaan setiap bulan sebelum diserahkan kepada suspek," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009. - UTUSAN ONLINE