Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Siah Chee Ming, 43, selepas tertuduh mengaku bersalah atas tiga pertuduhan melakukan rompakan dengan bersenjatakan pisau di beberapa buah kedai serbaneka sekitar ibu negara antara Julai dan Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merompak dua buah kedai KK Mart dengan melarikan 21 kotak rokok pelbagai jenis dan kad tambah nilai Digi dan U Mobile masing-masing bernilai RM30.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di KK Mart Taman Intan Baiduri dan Taman Kepong masing-masing di Sentul di sini pada pukul 12.18 tengah hari, 28 Julai dan pukul 8.45 pagi, 2 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan seterusnya, Chee Ming didakwa merompak wang tunai sebanyak RM154 dari kedai serbaneka, 7 Eleven, Jinjang Utara di sini, pada pukul 12.01 tengah malam, 1 Ogos lalu.

Kesemua pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda serta sebatan.

Terdahulu, Chee Ming yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama, bagaimanapun pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara antara 36 bulan dan 48 bulan dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 2 Ogos lalu. Dia juga dikenakan hukuman sebatan dua kali bagi kesemua kesalahan itu.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah pergi ke kedai serbaneka dan berpura-pura ingin membeli rokok, namun selepas juruwang mengimbas kesemua rokok berkenaan dia bertindak melarikan rokok itu.

Hasil siasatan dari kamera litar tertutup (CCTV), tertuduh didapati tidak memakai penutup muka ketika melakukan rompakan tersebut. -UTUSAN ONLINE