Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi, 39, berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM37 juta dimasukkan oleh syarikat Ihsan Perdana Sdn. Bhd. melalui dua transaksi iaitu masing-masing berjumlah RM27 juta dan RM10 juta.

Syarikat Ihsan Perdana ialah sebuah syarikat yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat untuk SRC International Sdn. Bhd.

Uma Devi ketika membacakan penyataan saksi berkata, terdapat satu lagi transaksi melibatkan jumlah RM27 juta di masukkan ke dalam akaun Ahli Parlimen Pekan itu pada 8 Julai 2014, bagaimanapun sumber wang tersebut tidak dinyatakan.

"Kesemua transaksi tersebut dimasukkan ke akaun AmPrivate Banking 1MY milik Najib bernombor 2112022011880 pada tahun 2014 dan 2015," katanya.

Tambah saksi pendakwaan ke-21 itu, bagi rekod pemindahan keluar pula, sebanyak RM20 juta telah dikeluarkan daripada akaun terbabit dan daripada jumlah tersebut, RM10 juta dimasukkan ke akaun semasa AmPrivate milik Najib bernombor 2112022011906 pada 8 Julai 2014. Baki RM10 juta tidak dinyatakan semaasa prosiding hari ini.

Selain jumlah RM20 juta itu, sebanyak RM3 juta dipindah keluar pada 23 Julai 2014 daripada akaun itu dengan RM1 juta dimasukkan ke dalam akaun semasa Najib bernombor 2112022011898 manakala bakinya dimasukkan ke dalam 2112022011906.

"Melalui surat arahan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn. Bhd., Nik Faisal Ariff Kamil pada November 2014 mengarahkan wang berjumlah RM449,586.95 daripada RM3.28 juta dalam akaun Ambank Najib dipindah keluar dan dikreditkan kepada kad kredit Visa Platinum manakala RM2,833,147.21 pula dikreditkan kepada kad kredit Master Card Platinum.

"Sementara itu, RM27 juta pula dipindah keluar dari akaun semasa Najib ke syarikat Permai Bina Raya Sdn. Bhd. pada 29 Disember 2014 melalui arahan pindahan daripada Najib sendiri manakala sebanyak RM10 juta dipindah keluar pada 10 Februari 2015 ke dalam akaun AmPrivate Najib bernombor 2112022011906," katanya lagi.

Terdahulu, saksi itu mengesahkan Ahli Parlimen Pekan itu mempunyai lima akaun di Ambank dengan satu daripadanya adalah akaun simpanan manakala empat lagi adalah semasa.

"Dua akaun dibuka pada 13 serta 18 Januari 2011 dan kemudian kedua-duanya ditutup pada 30 Ogos 2013. Selepas penutupan tersebut, Datuk Seri Najib membuka lagi tiga akaun pada 31 Julai 2013 dan ditutup pada 9 Mac 2015," katanya.

Tambah Uma Devi, Nik Faisal turut dilantik sebagai individu yang dibenarkan menguruskan akaun Najib di Ambank termasuk memeriksa baki akaun, mengambil buku cek dan penyata akaun.

"Najib keluarkan surat arahan bagi memberikan kebenaran itu kepada Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan untuk membolehkan Nik Faisal mengeluarkan cek bernilai lebih RM250,000 tanpa perlu merujuk kepada beliau terlebih dahulu," katanya.

Terdahulu, Uma Devi memaklumkan terdapat kemasukan wang berjumlah RM4 bilion ke dalam akaun 2112022009736 dan 2112022010650 milik SRC International Sdn. Bhd. pada 29 Ogos 2011 dan 28 Mac 2012.