Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk P. Nallini selepas membenarkan permohonan Jamil Khir agar notis rayuan ketiga-tiga pihak itu dibatalkan.

Kuorum berkenaan menerima alasan bahawa perayu-perayu gagal menyempurnakan penyampaian notis rayuan bertarikh 20 Februari lalu dalam tempoh yang ditetapkan.

Peguam Adnan Seman yang mewakili Jamil Khir berhujah, notis rayuan hanya dihantar pada 12 April lalu iaitu lewat 51 hari dari tarikh pemfailan notis.

Bagaimanapun, Datuk Suhaimi Kamaruddin yang mewakili perayu-perayu berhujah, notis rayuan telah dihantar melalui e-mel dalam tempoh yang dibenarkan, namun mendakwa tidak diterima oleh peguam belanya.

Sehubungan itu, panel tersebut berpuas hati bahawa rayuan adalah cacat kerana penyampaian notis yang tidak sempurna.

Yang turut bersidang, Datuk Dr. Badariah Sahamid dan Datuk Zabariah Mohd. Yusof. Selain Pemangkin, dua pihak lagi terdiri daripada Datuk Mohd. Yusoff A. Bakar dan Ahmad Fazil Hashim.

Ketiga-tiganya merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Februari lalu yang membatalkan tuntutan saman terhadap Jamil Khir manakala saman Pemangkin terhadap tujuh yang lain dibatalkan oleh mahkamah yang sama pada 10 November tahun lalu.

Mereka terdiri daripada Datuk Shahlan Ismail, Mohd. Yusof Abd. Rahman, Mokhtar Abdul Razak, Datuk Abibullah Samsudin, Sharina Ramli, Normala Embi, dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

Bagaimanapun, rayuan perayu-perayu terhadap tujuh responden lain diteruskan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Faizah Jamaludin membatalkan saman itu selepas berpuas hati writ saman dan pernyataan tuntutan tersebut tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah, mengaibkan, remeh serta suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif memohon satu deklarasi bahawa Pemangkin adalah sebuah entiti yang berdiri sendiri dan bukan anak syarikat kepada mana-mana syarikat atau yayasan atau pertubuhan lain termasuk Yapeim.

Mereka juga menuntut satu deklarasi bahawa arahan dan tindakan Jamil Khir dan tujuh defendan lain untuk menjadikan Pemangkin sebagai sebuah yayasan yang tidak aktif (dorman) adalah tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang. -UTUSAN ONLINE