Mohamad Zawawi, 56, yang pernah bertugas sebagai Pengarah SKM negeri membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd. Ghazali Mohamad Taib.

Beliau didakwa mendorong Ketua Unit Promosi dan Pengembangan SKM Pahang menyerahkan kepadanya peruntukan Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi berjumlah RM5,000 untuk kegunaan Seminar Usahawan Muda Berkoperasi Daerah Rompin di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin dekat sini pada 18 Oktober 2016 sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan di SKM negeri pada 10 Oktober 2016.

Pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd. Zamry mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat atau denda.

Beliau mencadangkan jumlah jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin manakala peguam tertuduh, Muhammad Amirul Afiqq Mohamad Lokman merayu jumlah ikat jamin dikurangkan kerana Mohamad Zawawi memberikan kerjasama yang memuaskan sepanjang siasatan kes bermula September 2018.

Mohd. Ghazali membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes.- UTUSAN ONLINE