KUALA LUMPUR 25 Sept. - Bekas Ahli Parlimen Pandan, Mohd. Rafizi Ramli diperintah membela diri oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyiarkan artikel mengandungi tohmahan ke atas Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) di akaun Facebook miliknya, dua tahun lalu.
Majistret Umzarul An-Nur Umar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes ‘prima facie’.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 27, 28 dan 29 Disember ini untuk perbicaraan peringkat bela diri.
Rafizi, 41, dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyiarkan artikel bertajuk ‘Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015’ dalam akaun Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Februari 2016, yang mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.
Naib Presiden PKR itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak di sini, kira-kira pukul 9 pagi, 8 Februari 2016.
Rafizi yang diwakili peguam, Nik Zarith Nik Moustpha dan didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE