Zarith Sofia atau nama penuhnya Zarith Sofia Mohd. Yasin, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan di hadapan Hakim Manira Mohd. Nor. 

Mengikut pertuduhan pertama, penyanyi yang lebih dikenali dengan nama Pia didakwa menyimpan seekor beruang matahari (Helarctos Malayanus) tidak matang iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa suatu permit khas. 

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 69(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010( Akta 716) dan boleh dihukum bawah seksyen 69(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Bagi pertuduhan kedua pula, wanita itu didakwa telah mengurung beruang sama di dalam premis yang tidak sesuai atau kondusif bagi keselesaan atau kesihatan hidupan liar tersebut.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 86(1)(c) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-dua sekali.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah unit Kondominium Sentrio Pandan, Desa Pandan di sini pukul 8 malam pada 6 Jun lalu.

Media sebelum ini melaporkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menahan seorang penyanyi wanita kerana disyaki menyimpan anak beruang matahari di kondominiumnya di Desa Pandan di sini.

Wanita itu ditahan pada pukul 8 malam selepas pihak Perhilitan menerima maklumat awam dan membuat pemeriksaan mengejut di rumahnya. - UTUSAN ONLINE.