Tertuduh dari Lukut, Port Dickson membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa.

Berdasarkan pertuduhan, dia telah melakukan amang seksual fizikal ke atas anak angkatnya yang berumur 16 tahun 10 bulan itu kira-kira pukul 9 malam pada 6 Julai lalu di sebuah rumah di Bandar Springhill, Rantau.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak manakala tertuduh diwakili peguam Joseph Mathews.

Junaidah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dan tertuduh diperintahkan untuk melaporkan diri pada setiap 15 hari bulan di balai polis berhampiran.

Hakim itu turut mengarahkan tertuduh dan keluarganya tidak menghampiri dan berkomunikasi dengan mangsa dan mahkamah menetapkan 19 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pada 6 Julai lalu, polis menahan lelaki itu yang disyaki mencabul anak angkatnya sejak setahun lalu, selepas remaja itu membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, perlakuan sumbang itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada guru sekolah sebelum dibawa membuat laporan polis. - UTUSAN ONLINE