Abu Hassan Chan Abdullah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. Utusan/FAISOL MUSTAFA

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Abu Hasan Chan Abdullah, 63, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syed Faisal Syed Amir.

Bagi pertuduhan pertama dan ke­dua, warga emas itu didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan dan memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas Daesh dengan cara menggunakan akaun Facebook kepunyaannya.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Bahagian E8, Counter Terrorism Cawangan Khas, tingkat 24, Menara 2, Ibu pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, di sini kira-kira pukul 10 pagi, 1 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan memberi soko­ngan kepada pengganas, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun atau denda dan bolehlah dirampas mana-mana harta yang te­lah digunakan atau diniat untuk me­lakukan kesalahan itu.

Pertuduhan memiliki bahan ber­kaitan kumpulan pengganas dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariaty Zainal mengikut Seksyen 130JB(1)(a) akta sama dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 130JB(1) akta tersebut yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana barangan tersebut.

Syed Faisal menetapkan 10 November ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.