Presiden Perkasa, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, keputusan tersebut juga bermakna nama Zakir bersih sebagai tokoh pendakwah dan ilmuan Islam yang dihormati diseluruh dunia.

Katanya, Perkasa juga bersyukur kerana dapat memberi pembelaan dan sokongan terhadap perjuangan Zakir sehingga ke peringkat Mahkamah.

"Kita tidak hanya retorik sahaja.Sebelum ini kita juga turut berjuang dalam isu kes kalimah Allah.

"Tahniah dan terima kasih kepada peguam Adnan Seman yang bertindak bagi pihak Perkasa," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan empat yang lain untuk membatalkan saman pemula yang difailkan Waytha Moorthy bersama-sama 18 individu lain.

Saman pemula itu adalah bagi menuntut perisytiharan mahkamah bahawa Zakir sebagai suatu ancaman terhadap keselamatan negara dan dilarang daripada memasuki Malaysia.

Hakim Datin Azizah Nawawi memutuskan demikian dengan kos RM5,000 selepas mendapati penceramah terbabit tidak dijadikan sebagai salah satu pihak dalam saman tersebut.

Dalam saman difailkan pada 1 Mac tahun lalu, Waytha Moorthy bersama-sama 18 yang lain terdiri daripada ahli politik, peguam dan badan bukan kerajaan (NGO), menuntut perintah perisytiharan bahawa penceramah terkenal itu merupakan ancaman terhadap ketenteraman rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini dan perlu ditangkap serta-merta. - UTUSAN ONLINE