Penjual pisang goreng, Noryazid Soid, 45, dan suri rumah, Nathysanur Ali, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi lapan pertuduhan itu selepas  dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

 Bagi semua pertuduhan itu, kedua-duanya didakwa bersama-sama memperdaya lapan mangsa berusia antara 27 hingga 54 tahun untuk mempercayai mereka akan mendapatkan RMMJ Kuota Menegak Kerajaan (KMK) yang ditawarkan tertuduh.

 Perbuatan itu  mendorong lapan individu itu menyerahkan wang secara berperingkat-peringkat keseluruhannya berjumlah RM110,430, sama ada secara tunai atau dimasukkan ke akaun bank, yang mana kesemua lapan orang itu tidak akan menyerahkan wang masing-masing sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

 Kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Jalan Selayang 18, Taman Pasir Putih, di sini, pada awal 2016.

 Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

 Sementara itu, di mahkamah sama, Noryazid turut mengaku tidak bersalah terhadap tiga lagi pertuduhan memperdaya tiga individu lain membabitkan keseluruhan wang berjumlah RM32,390 bagi tujuan sama.

 Dia didakwa melakukan perbuatan itu di alamat sama dan sebuah restoran makanan segera di Bandar Seri Alam, di sini, antara 2013 dan tahun lalu dan turut dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

 Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Muhamad Dan manakala peguam Farhan Maarof mewakili Nathysanur dan Noryazid diwakili peguam Hussin Othman.

 Mahkamah kemudian membenarkan Nathysanur diikat jamin RM19,000, manakala Noryazid sebanyak RM25,000 masing-masing dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan yang dihadapi mereka.

 Siti Hajar menetapkan 4 Mac ini bagi sebutan semula semua kes bagi serahan dokumen. - UTUSAN ONLINE