Muhammad Nor Idham Md. Supari, 31, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu bersama empat yang masih bebas didakwa merompak menggunakan sebilah parang terhadap dua lelaki, Tan Kok Heng, 38, dan Loh Tuck Wai, 25, dengan melarikan sembilan unit telefon bimbit pelbagai jenis dan wang tunai RM1,000 di Beauty Lady Massage Laman Rimbunan, Taman Usahawan Kepong di sini pada pukul 6 pagi, 14 Ogos lalu.

Pertuduhan terhadap tertuduh dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamalluddin mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Pihak pendakwaan tidak mencadangkan sebarang ikat jamin ekoran kesalahan tersebut tidak boleh dijamin, bagaimanapun peguam Mohd. Zaidi Othman yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dibebaskan dengan jaminan selain bersedia dengan syarat-syarat tambahan lain.

Mahkamah membenarkan Muhammad Nor Idham diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu dia perlu melapor diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan 4 Oktober ini. - UTUSAN ONLINE