Tertuduh, Roslina Abu Bakar, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim G. Ramesh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima deposit pelaburan daripada Azizan Abd. Rashid, 65, berjumlah RM430,500 di mesin deposit tunai sebuah bank di Rembau antara 5.14 petang hingga 8.54 malam pada 26 Jun 2016 hingga 25 Ogos 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohd. Azri kemudian memohon mahkamah mengenakan jaminan RM100,000 sebelum peguam tertuduh, Ardelliza Izmayanti Shafie meminta jaminan paling minima.

Ardelliza Izmayanti memberitahu mahkamah, anak guamnya berdepan 11 pertuduhan di mahkamah yang sama (Mahkamah Sesyen Seremban) pada 29 Ogos tahun lalu bersama anak lelakinya yang berusia 30 tahun dan akan dibicarakan pada 3 Mei ini.

Katanya, tertuduh juga telah dihadapkan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor atas satu pertuduhan dan sehingga kini membayar jaminan sebanyak RM44,000.

Jelasnya, Roslina yang bersuami dan memiliki tiga anak berusia 23 hingga 33 tahun turut mengidap sakit tulang belakang dan masalah jantung.

Selepas menimbang hujah kedua-dua pihak, Ramesh menawarkan jaminan RM40,000 terhadap tertuduh dan kes itu akan disebut semula pada 7 Mei ini bagi serahan dokumen. - UTUSAN ONLINE