Ketetapan itu di­buat Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas mempertimbangkan permohonan pihak pembelaan agar mahkamah me­netapkan satu tarikh lain bagi pengurusan kes berkenaan.

Menurut Ha­kim Hadhariah, mah­ka­mah tidak mahu kes berkenaan tertangguh lama dan masa dua bulan yang di­berikan kepada pi­hak pembelaan adalah cukup untuk me­neliti dokumen pen­dakwaan.

“Mahkamah me­netapkan 6 Disember ini sebagai tarikh pengurusan kes dan kes ini tidak boleh ditangguh lagi,” kata beliau dalam mahkamah yang penuh sesak.

Terdahulu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng memohon pertimbangan mahkamah untuk memberi tempoh kepada pihak pembelaan yang memerlukan ruang meneliti dokumen melebihi 13,000 muka surat yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Tim­balan-timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd. Daud dan Mohd. Dusuki Mokhtar manakala Li Koon diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Pada 30 Jun lalu, Guan Eng, 56, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa sebagai pen­­jawat awam iaitu Ketua Menteri negeri ini, telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan Permohonan Perling­kungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya negeri ini kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Pertuduhan itu di­dakwa dilakukan Ahli Parlimen Ba­gan itu ketika mempengerusikan me­syuarat Jawatan­kuasa Perancang ne­geri di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini pada 18 Julai 2014.

Beliau didakwa mengikut Sek­syen 23 Akta Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pertuduhan kedua, Guan Eng didakwa sebagai penjawat awam telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, di sini daripada Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Puteh itu mengetahui bahawa Li Koon mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan Guan Eng di rumah banglo terlibat pada 28 Julai 2015 dan untuk itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Li Koon, 44, pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat bagi mendapatkan untuk Guan Eng lot tanah dan rumah banglo terlibat pada tarikh serta tempat sama dan dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Dalam pada itu, prosiding tersebut seperti dijangka mendapat perhatian ramai selepas hampir 200 orang berkumpul di pekarangan Mahkamah Georgetown bagi mengikuti kes tersebut.

Selain majoriti mereka yang merupakan penyokong DAP, kumpulan yang mendesak Guan Eng meletakkan jawatan ekoran tuduhan rasuah itu turut berkumpul sejak pukul 7 pagi.

Pertembungan antara kedua-dua kumpulan itu juga mencetuskan kekecohan kecil selain menyebabkan kesesakan teruk sehingga berakhirnya prosiding kira-kira pukul 11.30 pagi.

Bagaimanapun, tiada insiden tidak diingini berlaku dan keha­diran puluhan anggota polis turut memastikan demonstrasi pendu­duk itu berlangsung aman.