Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Norshah Faizal Fauzi, 31, kerana pertuduhan bunuh yang melibatkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa membunuh Mohamad Hafizan Moerdani Johari, 31, di sebuah rumah di Flat Sri Penara, Jalan Sri Permaisuri, Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini antara pukul 3.50 petang, 2 Mei 2017 dan pukul 3.20 pagi, 3 Mei tahun lalu.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Najwa Bistamam mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Majistret Wong Chai Sia menetapkan 7 November ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik dan bedah siasat. - UTUSAN ONLINE