Pesuruhjaya Kehakiman Darryl Goon Siew Chye merekodkan penghakiman persetujuan berkenaan selepas pengarah MyNewsNet selaku defendan tunggal dalam saman berkenaan, Arshad Khan membaca permohonan maaf secara terbuka.

Bagaimanapun bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu selaku pihak plaintif dan diwakili peguam Nadzratun Naim Hammad Azizi tidak hadir dalam prosiding berkenaan.

Hari ini ditetapkan untuk sambung bicara dengan saksi kedua plaintif iaitu pensyarah dalam bidang Teknologi Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dijangka menyambung keterangannya.

Arshad ketika membacakan permohonan maaf tersebut berkata, pihaknya menarik balik dakwaan fitnah yang dipaparkan dalam sebuah artikel yang disiarkan di www.mynewshub.cc bertajuk `Wakil Rakyat Pan Cuti Mewah di UK Abai Mangsa Bah’ pada 7 Januari 2017.

“Kami memohon maaf kepada Raja Kamarul Bahrin kerana menyebabkan kesusahan dan malu terhadap beliau dengan penerbitan perkataan dan tuduhan yang tidak benar serta tidak berasas.

“Pihak defendan tidak berniat untuk menyinggung Raja Kamarul Bahrin dan meminta maaf jika ia melukakan perasaan, maruah dan reputasinya. Kami kesal dan tidak pernah berniat mahu mencemarkan imej beliau di mata umum,” katanya.

Nadzratun Naim ketika ditemui pemberita selepas selesai prosiding berkata, antara terma penyelesaian tersebut adalah pihak defendan perlu menerbitkan permohonan maaf berkenaan secara bertulis dalam portal tersebut, akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Defendan juga menurut peguam tersebut perlu membayar kos dan ganti rugi kepada pihak plaintif, bagaimanapun jumlahnya tidak didedahkan kepada pihak media.

Menurut pernyataan tuntutan bertarikh 31 Januari 2017, pihak plaintif menyatakan, Mynewshub telah menerbitkan artikel berserta gambar beliau yang didakwa mengandungi kata-kata fitnah sama ada atas kapasitinya sebagai individu atau Ahli Parlimen pada ketika itu.

Disebabkan kata-kata tersebut, dakwa plaintif, beliau menanggung malu dan kredibiliti serta reputasinya terjejas. - UTUSAN ONLINE