Peguam Negara, Tommy Thomas memaklumkan perkembangan itu ketika kes disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk perbicaraan hari pertama melibatkan Ahli Parlimen Pekan yang didakwa atas pertuduhan salah guna jawatan, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Tommy memaklumkan, surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop adalah bagi mendapatkan tarikh pendengaran dalam tempoh terdekat.

Najib yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memfaikan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan kesnya pada 8 Februari lalu bagi membolehkan Mahkamah Rayuan mendengar dan memutuskan persoalan sama ada pihak pendakwaan boleh menarik balik sijil pindah kes itu bagi tuduhan berkenaan, sebelum perbicaraan kesnya bermula.

Semalam, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk menangguhkan sementara perbicaraan kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dihadapinya, yang dijadualkan bermula hari ini.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Ahmadi Asnawi bersama-sama Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Datuk Yew Jen Kie sebulat suara membenarkan permohonan penangguhan difailkan Najib pada 8 Februari lalu.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC.

Kemudian, pada 8 Ogos tahun sama, Najib sekali lagi didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama daripada dana sama milik SRC.