Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd. Azdi Azmi, 21, selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Azdi didakwa melakukan pembunuhan menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kematian ke atas Mohammad Shahril Mohd. Yusoff, 21, di Medan Selera Ayer Keroh, Taman Muzaffar Syah antara pukul 4 hingga 7 pagi, 1 Oktober lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan kepada Mohamad Shahrul Bizam Zulkafli, 18, menggunakan sebilah pisau dan parang pada waktu dan di lokasi sama.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada mana-mana hukuman tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari memberitahu mahkamah tiada jaminan ditawarkan untuk jenayah membunuh dan memohon tarikh sebutan dan serahan laporan bedah siasat, selain memohon kes dipindahkan ke mahkamah tinggi.

Muhammad Nazrin menetapkan tarikh 13 Disember depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi. - UTUSAN ONLINE