May-ling, 19, anak sulung Kim-sun memberitahu Mahkamah Tinggi Hong Kong hari ini bahawa adiknya, Lily, 16 sebagai seorang yang berani dan mempunyai semangat tinggi namun mudah marah.

"Lily berusia dua setengah tahun lebih muda daripada saya, mungkin dia adalah teman sejiwa saya. Kami sangat rapat dan mempunyai banyak persamaan," kata May-ling kepada mahkamah.

Pendakwa menuduh Kim-sun meninggalkan bola yoga mengandungi gas karbon monoksida yang dibocorkan di dalam kereta yang dinaiki Lily dan ibunya, Khaw Wong Siew-fung.

Kim-sun, 53 didakwa mempunyai hubungan hubungan sulit dan isterinya tidak mahu memberikan penceraian kepada beliau.

May-ling memberitahu mahkamah, dia menyedari bapanya mempunyai hubungan intim dengan Shara Lee yang juga merupakan tutor kepada beliau dan adiknya.

"Pada mulanya saya rasa sedikit dikhianati tetapi pada masa yang sama hubungan ibu bapa saya tidak begitu baik. Saya memahami tindakan ayah dan saya berasa simpati terhadap ibu," kata May-ling.

Siew-fung dan Lily ditemui mati di dalam kereta Mini Cooper berwarna kuning yang terkunci di tepi jalan pada tahun 2015 yang pada awalnya menimbulkan misteri kepada pihak polis.

Namun bedah siasat mendapati kedua-dua mereka maut akibat menyedut gas karbon monoksida. Polis turut menemui bola yoga yang kempis di belakang kereta tersebut.

Seorang profesor dari Chinese University of Hong Kong tempat di mana Kim-sun bekerja memberitahu mahkamah dia melihat tertuduh mengisi gas karbon monoksida ke dalam dua buah bola yoga. Tertuduh memberitahu mahu membawa bola-bola tersebut ke jabatan kimia untuk diuji.

Pada awal perbicaraan mahkamah dimaklumkan Kim-sun memberitahu rakan sekerja bahawa beliau mahu mengunakan gas tersebut terhadap arnab.

Namun kemudian memberitahu polis, dia mahu menggunakan gas tersebut untuk membunuh tikus di rumahnya.

Ketika ditanya oleh pendakwa raya sama ada terdapat haiwan di rumah mereka di Sai Kung, May-ling menyatakan terdapat nyamuk, lipas dan tikus di kediaman mereka.

Perbicaraan bersambung pada Rabu ini.-AFP.