Tertuduh, K. Vaitheswaran,  21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Jamaliah Abd. Manap di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, di sini pagi ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kereta secara merbahaya sehingga meyebabkan kematian pemandu kenderaan SUV itu yang juga rakannya, Moey Yun Peng, 20.

Vaitheswaran didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 3 pagi pada 20 Januari lalu di kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang arah Perai dekat sini.

Tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai pendandan rambut itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 serta hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih tiga tahun.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amir Abdul Karim, manakala tertuduh  diwakili peguam, S. Parameswaran.

Mahkamah menetapkan 18 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai dan perlu melapor diri di balai polis  setiap bulan.

Dalam kejadian itu, Yun Peng yang memandu SUV jenis Mazda CX-5 ditemui mati lemas di dalam kenderaan itu selepas terjunam ke dalam laut sejurus terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan Toyota Vios yang dipandu tertuduh.

Kejadian itu berlaku selepas mangsa dan tertuduh dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing selepas menghadiri majlis beserta lima lagi rakan mereka di sebuah pusat hiburan di Georgetown di sini.

Mayat mangsa bersama SUV itu berjaya dinaikkan selepas tigari operasi mencari dan menyelamat digerakkan. - UTUSAN ONLINE