Hakim Manira Mohd. Nor menjatuhkan hukuman itu selepas Lee Lai San, 63, sebagai orang kena saman (OKS) menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes hari ini.

Mengikut pertuduhan, Lai San didakwa ada dalam kawalannya barang berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 2,650 liter yang ditemukan di dalam tangki tambahan pada sebuah lori dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Stesen Minyak BHP di Batu 3, Jalan Gombak, di sini pada pukul 12.30 tengah hari, 10 Oktober 2012.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Muhd. Kamil Khirddin memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam.

“Disebabkan perbuatan penyelewengan dan ketirisan yang dilakukan OKS ini telah membawa kerugian kepada kerajaan kerana telah berbelanja besar untuk memperuntukkan petrol dan diesel bersubsidi,” katanya.

Lai San yang tidak diwakili peguam pula merayu hukuman ringan kerana dia perlu menanggung empat anak dengan pendapatan tidak seberapa sebagai pemandu lori.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian sepasukan anggota penguat kuasa telah menemukan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan. Hasil siasatan lanjut mendapati OKS memiliki dan menyimpan minyak diesel di dalam tangki lori tersebut serta di dalam tangki simpanan yang telah diubah suai.