Bagaimanapun, tertuduh, N. Maridass, 35, Yap Yoke Liang, 42, dan seorang warganegara Singapura, Wang Jing Choa, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Mengikut pertuduhan, Maridass didakwa melupuskan buangan terjadual di bawah Kod SW311 iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak seperti dalam senarai Jadual Pertama Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekitar (Buangan Terjadual) 2005 ke dalam Sungai Kim Kim.

Manakala Yoke Liang dan Jing Choa dituduh bersama-sama bersubahat dengan Maridass melakukan perbuatan tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kesemua mereka menggunakan lori jenis Mitsubishi Semi Treler M/Sawit tanpa mendapat apa-apa kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim, Jalan Kota Masai 1, Pasir Gudang pada 7 Mac lalu antara 12 tengah malam hingga 1 pagi.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34B(4) akta sama, manakala pendakwaan terhadap dua pengarah syarikat itu juga dibaca bersama Seksyen 42 akta yang sama.

Mereka berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM500,000, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Asyraf Md. Kamal dan Maridass diwakili peguam bela, Rathakrishna manakala peguam G. Subramanium mewakili Yoke Liang dan Jing Choa.

Yoke Liang dan Jing Choa berdepan 15 lagi pertuduhan di mahkamah sama pada petang ini. - UTUSAN ONLINE