Majistret Sabreena [email protected] turut memerintahkan Ng Chee Wei, 23, dipenjara lima bulan dan enam bulan, masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.

Bagi pertuduhan pertama, Ng didakwa menolong menyembunyikan wang tunai RM900 milik Mohd Sazali Saminan, 50, ke dalam akaun Maybank milik tertuduh secara pindahan atas talian di Kampung Kubu Gajah, Seksyen U17 pukul 11.31 pagi, pada 20 Mei lepas.

Lelaki itu juga didakwa melakukan perbuatan sama ke atas wang tunai RM8,100 milik individu sama yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik tertuduh menerusi mesin deposit tunai di Maybank cawangan Sungai Buloh pada pukul 5.51 petang, pada tarikh sama.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Majistret berasingan, dua pelajar kolej swasta, Oon Yee Shin dan Yap Ka Wai, masing-masing berusia 26 tahun, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menipu Mohd Sazali dengan menjual sebuah kereta jenis Toyota Vios 1.5(A) kepada mangsa di laman jual beli atas talian mudah.my.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa memperdaya Mohd Sazali dengan menjual kenderaan yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM9,000 ke dalam sebuah akaun Maybank secara pindahan atas talian dan mesin deposit tunai.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Kubu Gajah, Seksyen U17 dan Maybank cawangan Sungai Buloh pada 11.31 pagi dan 5.51 petang pada 20 Mei lepas, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Sept depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA