Md. Khairol Anuar Mohamad, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Noorasyikin Sahat.

Mengikuti pertuduhan, Md. Khairol Anuar didakwa telah memasukkan dadah jenis Methamphetamine ke dalam badannya di tandas pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini kira-kira pukul 7.40 malam, 17 Ogos lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Asyraf Abdul Rasid mencadangkan jaminan RM7,000 manakala tertuduh merayu jaminan dikurangkan atas alasan dia menanggung keluarga dan anak berusia lapan bulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 24 September ini bagi mendapatkan laporan patologi.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, siasatan awal yang dilakukan mendapati pemuda tersebut positif dadah jenis syabu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam, 16 Ogos lalu, sekurang-kurangnya empat cedera selepas tujuh buah kereta dilanggar oleh sebuah bas Rapid KL yang dalam perjalanan dari Jalan AU2 Keramat menghala ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Dalam satu klip video berdurasi 1 minit 40 saat yang tular memaparkan bas berkenaan dipandu secara laju dan bahaya sambil dikejar oleh beberapa orang penunggang motosikal. - UTUSAN ONLINE