Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussain, 54, berkata, notis sama turut dikeluarkan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn. Bhd., Nik Faisal Ariff Kamil.

Beliau dalam keterangannya berkata, setelah notis berkenaan diperolehi, SPRM telah maklumkan kepada Biro Pusat Kebangsaan (NCB) Bukit Aman untuk mengedarkannya kepada negara-negara yang disyaki mereka berada.

"Antara negara tersebut adalah Hong Kong, Macau, China, Thailand, Indonesia, dan Myanmar," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd. Yusoff dalam perbicaraan hari ke-51 melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana SRC International hari ini.

Notis merah ialah satu notis diedarkan kepada semua keanggotaannya bagi usaha mencari dan menangkap individu yang dikehendaki oleh suatu bidang kuasa kehakiman atau tribunal antarabangsa, dengan tujuan untuk mengekstradisi.

Saksi pendakwaan ke-57 turut memberitahu, pasport Malaysia bagi Jho Low dan Nik Faisal telah dibatalkan masing-masing pada 14 Jun 2018 dan 25 Julai 2018.

"Maklumat rasmi dari Jabatan Imigresen Malaysia mendapati pergerakan terakhor Jho Low adalah keluar melalui Terminal Tiga Lapangan Terbang Subang pada 29 Mei 2015.

"Bagi Nik Faisal pula, pergerakan keluar adalah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Mei 2018," katanya lagi.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd. Nazlan masih berlangsung. - UTUSAN ONLINE.