Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Nahas DUKE: Nama abang diguna keluar wang insurans

KUALA LUMPUR 19 Mei – Abang ketiga kepada Allahyarham Fairuz Nizam Husain yang terlibat dalam kemalangan maut di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE), dua tahun lalu, memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini terdapat satu permohonan pengeluaran wang RM50,000 daripada insu­rans takaful yang dibuat menggunakan namanya.

Hamlizar Hussin, 45, berkata, sedang­kan bukan dia yang membuat permohonan itu sebaliknya ejen syarikat insu­rans berkenaan menggunakan namanya bagi tujuan pengeluaran wang untuk kegunaan dua anak Fairuz Nizam, Nur Firuza Amira, 9 dan Nur Firuza Aqila, 5.

Menurutnya, dia menandatangani borang permohonan itu selepas ejen berkenaan menunjukkan borang tersebut kepadanya serta menjelaskan tujuan pengeluaran wang itu dilakukan.

“Selepas permohonan diluluskan oleh pihak takaful, wang berjumlah RM50,000 itu diserahkan kepada nenek sebelah arwah ibu dua anak yatim itu kerana saya tidak layak dan tiada hak untuk menerimanya. Wang itu adalah hibah arwah adik ipar yang juga merupakan ibu kepada dua anak saudara saya,” katanya.

Hamlizar berkata demikian semasa memberi keterangan sebagai saksi pertama kepada nenek kanak-kanak ber­kenaan, Wirda Syamsuddin, 54, yang dinamakan sebagai defendan dalam perbicaraan kes tuntutan hak penja­gaan (hadanah) kedua-dua kanak-kanak itu oleh ibu saudara mereka, Yusnidah Husain.

Yusnidah, 49, selaku plaintif memfailkan tuntutan hadanah berkenaan pada 2 Jun 2015 mengikut Seksyen 81 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Pada 11 Ogos tahun lalu, mahkamah memberikan hak penjagaan sementara kedua-dua anak yatim berkenaan kepada Yusnidah.

Ketika ditanya oleh peguam syarie, Mahyuddin Md. Zahari yang mewakili Yusnidah, sama ada dua kanak-kanak berkenaan tinggal bersama plaintif ketika permohonan dan serahan wang dibuat kepada defendan, saksi tersebut menyatakan dia tidak pasti tentang hal itu.

Kata Hamlizar, ini berikutan cek itu keluar sebelum plaintif mendapat hak penjagaan sementara dua kanak-kanak tersebut.

Pada prosiding tersebut, Wirda iaitu ibu kepada arwah Nova Safitri Azhari yang diwakili peguam syarie, Yusfa Hanis Yusoff turut hadir bersama-sama ahli keluarganya.

Dalam nahas yang berlaku pada 2 Mei 2015, di Kilometer 6.2 arah Ulu Kelang ke Jalan Duta, Fairuz Nizam, 35, isterinya, Nova Safitri, 25 dan anak bongsu mereka berusia tujuh bulan, Nur Firuza Annisa, maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kereta semasa mereka dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Putrajaya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Muhamad Abd. Karim Wahab bersambung 14 Julai ini.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain