Sebanyak dua orang saksi tampil memberi keterangan di dalam perbicaraan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad, yang bermula pukul 10.30 pagi sehingga ditangguhkan pada pukul 2 petang.

Saksi pertama, Azhar Hassan, 49, yang juga pengurus sebuah kumpulan muzik DSSK Buskers ketika memberi keterangan menceritakan kembali situasi yang berlaku pada malam 20 Oktober tahun lalu.

Antara lain dia berkata, kemungkinan ada berlaku sentuhan ketika Shahidan dan remaja itu berada di dalam kereta pada malam tersebut.

Namun dia tidak boleh mengandaikan sama ada sentuhan itu adalah berbentuk cabul memandangkan sepanjang mengenali Shahidan, ahli politik itu adalah seorang pemimpin yang mesra dan baik hati terhadap semua orang, khususnya rakyat negeri ini.

Katanya, kedua-dua mereka berbual beberapa minit di dalam kenderaan sebelum remaja tersebut keluar daripada kereta lalu bergegas pergi kepada keluarganya yang berada di sebuah khemah di kawasan berhampiran.

“Remaja itu (mangsa) seperti memberitahu sesuatu kepada ibunya yang kemudian dipanjangkan kepada ayah remaja tersebut. Saya dengar ayah dia beritahu, kalau begitu, berhentilah main muzik dan baliklah.

“Selepas itu saya merasakan ada sesuatu yang berlaku dan malam itu, keadaan bukan seperti biasa,” katanya ketika menjawab soalan Pengarah Pendakwaan negeri, Nordin Ismail dalam perbicaraan.

Tambah Azhar, keluarga tersebut kemudian membuat laporan polis kira-kira pukul 3 pagi namun menarik semula laporan tersebut pada pukul 10 pagi, hari yang sama.

Katanya, dia seterusnya mengatur pertemuan antara Shahidan bersama keluarga dan remaja itu sendiri termasuk beberapa yang lain bagi menyelesaikan jika ada sebarang salah faham yang berlaku pada malam tersebut.

Sementara itu, perbicaraan akan bersambung pada pukul 10 pagi esok dengan beberapa lagi saksi akan dipanggil oleh pihak pendakwaan.

Ketua Peguam Bela Shahidan, Zamri Ibrahim ketika ditemui berkata, perbicaraan berlangsung lancar dengan dua saksi memberi keterangan hari ini.

“Dijangka terdapat 11 orang saksi akan dipanggil dalam perbicaraan kes ini. Terpulang kepada pihak pendakwaan,” katanya.- UTUSAN ONLINE