Menurut saksi ketiga bagi prosiding inkues, Ahmad Shahril Othman, 36, yang merupakan pegawai perubatan dan juga pemandu jentera EMRS daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, ketika jentera Fire Rescue Tender (FRT) berundur buat kali pertama, Muhammad Adib masih lagi berada di dalam kenderaan tersebut.

"Ketika FRT mengundur ke belakang, Muhammad Adib berada di sebelah saya dan saya sempat bercakap dengannya. Saya kata lajunya si Hazim (FRT) namun Muhammad Adib tidak bercakap apa-apa.

"Dia tercengang sambil tangan kanan pegang papan pemuka hadapan kereta dan tangan kiri di letakkan di pintu jentera EMRS,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah selaku Pegawai Pengendali bagi prosiding tersebut.

Dalam pada itu, menceritakan lanjut, ketika tiba di lokasi, Ahmad Shahril melihat orang awam ramai berada di kiri dan kanan jalan serta terdengar riuh rendah tanpa mengetahui butir sebenar percakapan.

"Saya nampak seorang anggota pemadaman (Hazim) turun di sebelah kanan FRT dan menuju ke bahagian kiri gegelung paip air di belakang jentera tersebut. Namun, belum sempat Hazim tarik, dia diserbu oleh sekumpulan orang awam dan tidak nampak kelibatnya selepas itu. Saya tidak tahu ke mana dia pergi tetapi nampak orang awam menghala ke arah belakang EMRS dari kedua-dua arah.

"Malah, ketika FRT mengundur dan melanggar bahagian depan EMRS, secara tiba-tiba ada sekumpulan orang awam dari sisi pemandu mengetuk cermin dan cuba membuka pintu," ujarnya.

Hakim Rofiah Mohamad yang bertindak sebagai Koroner menangguhkan prosiding inkues hari pertama dan akan bersambung esok. - UTUSAN ONLINE