Berikutan keputusan kerajaan itu, Mohamed Apandi telah menarik balik permohonan semakan kehakiman yang difailkan terhadap Pengarah Jabatan Imigresen, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan selaku pihak responden.

Hari ini ditetapkan untuk pendengaran bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Imigresen yang mengenakan sekatan perjalanan tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mariana Yahya.

Peguam, M. Visvanathan yang mewakili Mohamed Apandi selaku pemohon ketika ditemui pemberita berkata, Jabatan Imigresen telah memaklumkan keputusan membatalkan sekatan itu dalam satu surat bertarikh 8 Mei lalu.

Pada Mac lalu, Mohamed Apandi, 69, memfailkan permohonan itu bagi mendapatkan perintah certiorari untuk membatalkan arahan yang menghalangnya daripada mendapatkan pasport serta sekatan perjalanan oleh kesemua responden terhadap pemohon yang dimaklumkan secara lisan kepadanya pada 22 Februari lalu.

Mohamed Apandi juga memohon perintah deklarasi bahawa kesemua responden tidak mempunyai kuasa untuk menghalangnya ke luar negara selain memohon perintah mahkamah untuk menghalang responden daripada menyenarai hitam pemohon daripada keluar masuk negara.

Turut dimohon adalah deklarasi bahawa arahan yang menghalangnya sekatan yang dikenakan terhadapnya melanggar Perkara 5(1), Perkara 8 dan/atau Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu ianya tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah. - UTUSAN ONLINE.