Thomas memaklumkan Mah­kamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau akan menghantar sepucuk surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan (COA) tengah hari ini supaya dipercepatkan pendengaran rayuan Najib berhubung penarikan balik sijil pemindahan tujuh pertuduhan terhadapnya oleh pihak pendakwaan.

Thomas berkata, pihak pen­­­dakwaan akan meminta Mahkamah Rayuan supaya menyegerakan pendengaran rayuan itu seawal mungkin dan akan menghantar surat kepada Pre­siden COA untuk mendapatkan tarikh pendengaran awal.

“Sekiranya mereka (pem­belaan) jujur dan ikhlas dalam rayuan mereka, kenapa mereka mahu menangguhkan perbicaraan. Kami (pendakwaan) tidak mahu menangguhkan perbicaraan ini,” katanya ketika kes itu disebut di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Thomas berkata, hari ini sepatutnya merupakan hari pertama perbicaraan kes SRC Najib, bagaimanapun ia ditangguhkan semalam apabila Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan sehingga kes rayuannya selesai.

Thomas turut memohon supaya dilapangkan tarikh perbi­caraan itu, yang telah ditetapkan mulai hari ini sehingga 22 Februari dan meminta mahkamah supaya mengekalkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini iaitu dari 25 hingga 28 Februari dan 4 hingga 29 Mac.

“Kami yakin rayuan itu boleh diselesaikan sebelum minggu depan,” katanya.

Mohd. Nazlan menetapkan 22 Februari untuk pengurusan kes bagi pihak-pihak mengemaskini perkembangan rayuan itu di Mahkamah Rayuan.

Di luar mahkamah, peguam, Datuk V. Sithambaram yang dilantik untuk membantu pasukan pendakwaan, memberitahu pemberita bahawa pihak pendakwaan akan mengutus surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan (COA) untuk mendapatkan tarikh pendengaran awal kerana kes itu membabitkan kepentingan awam.

“Kami harap Presiden COA akan segera menetapkan tarikh bagi pendengaran rayuan itu. Pihak pendakwaan yakin perbicaraan kes ini akan diadakan dari 25 Februari hingga penghujung Mac,” katanya.