Panel tujuh hakim diketuai oleh Tan Sri Hasan Lah menetapkan demikian selepas mendengar penghujahan panjang lebar barisan peguam bela yang mewakili badan itu, Persatuan Peguambela Sarawak (AAS), Persatuan Peguam Muslim Malaysia dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Yang turut bersidang, Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Zaharah Ibrahim, Datuk Seri Balia Yusof Wahi, Tan Sri Aziah Ali dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Empat persoalan perlembagaan itu ialah:

* Sama ada di bawah Perkara 122 (1A) Perlembagaan Persekutuan, hakim tambahan boleh dilantik atas nasihat Ketua Hakim Negara, nasihat mana yang akan berkuat kuasa selepas persaraannya itu?

* Sama ada di bawah Perkara 122 (1A), dibaca bersama Perkara 122B (1), 122B (2) dan Perkara 125 (1) Perlembagaan Persekutuan, hakim tambahan boleh dilantik sebagai Ketua Hakim Negara atau Presiden Mahkamah Rayuan?

* Sama ada pelantikan hakim oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 122 (1A) dan 122B (1) Perlembagaan Persekutuan adalah wajar?

* Sama ada pelantikan hakim tambahan dan selepas itu sebagai Ketua Hakim dan Presiden Mahkamah Rayuan diumumkan semasa mereka berkhidmat sebagai hakim tetapi berkuat kuasa selepas persaraan melanggar Artikel 122 (1), 122 (1A) dan 125 (1) Perlembagaan Persekutuan?

Majlis Peguam memfailkan saman pemula untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa pelantikan Raus dan Zulkefli tidak sah dan tidak berperlembagaan kerana kedua-duanya melepasi umur persaraan mandatori 66 tahun, enam bulan pada 3 Ogos dan 27 September tahun lalu.

Saman pemula itu difailkan terhadap Raus, Zulkefli dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria susulan resolusi yang dicapai pada Mesyuarat Agung Luar Biasa badan itu pada 3 Ogos tahun lalu. - UTUSAN ONLINE