Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan demikian setelah mendapati KDN mempunyai hak mengharamkan PPS berdasarkan bidang kuasa yang dimiliki menteri berkaitan.

Menurut beliau, Kerajaan DAP Pulau Pinang melakukan kesilapan untuk memiliki PPS sebagai ganti kepada polis terutama apabila pasukan sukarela itu menjalankan tugas-tugas polis serta memiliki pangkat yang tidak diluluskan.

“PPS tidak boleh diiktiraf sebagai sebuah badan yang sah untuk menjalankan tugas-tugas polis biarpun mereka memiliki niat murni membantu pihak berkuasa itu tetapi niat murni sahaja tidak cukup apabila melanggar undang-undang,” kata beliau dalam penghakimannya.

Hakim Hadhariah bagaimanapun tidak menetapkan sebarang kos.

Kerajaan DAP Pulau Pinang pada 27 Januari tahun lalu memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar arahan KDN itu yang mengesahkan PPS adalah pertubuhan haram.

Mereka menuntut deklarasi bahawa PPS adalah sebuah pertubuhan yang sah dan ditubuhkan oleh kerajaan negeri di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Kerajaan DAP menamakan KDN, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonan semakan kehakiman itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar ne­geri, Phee Boon Poh memaklumkan, kerajaan negeri akan membuat rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Pada Oktober 2014, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, PPS adalah sebuah pertubuhan haram kerana penubuhannya tidak dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai satu undang-undang.

Selain itu, katanya, PPS juga tidak termasuk dalam akta yang diluluskan oleh Dewan Rakyat sebagaimana Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang terletak di bawah Akta Rukun Tetangga 2012 atau Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di bawah Akta Kesukarelawan 2012.

Pendedahan itu dibuat susulan penahanan 156 anggota PPS termasuk Boon Poh yang juga pengerusi pertubuhan itu pada 31 Ogos 2014 kerana ingkar amaran untuk tidak menjalankan aktiviti selepas PPS didapati tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).