Ismee, 54, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji berkata, beliau telah mengemukakan surat perletakan jawatannya itu pada 6 Mei 2014 yang berkuat kuasa secara rasmi bermula pada 15 Ogos tahun sama.

Saksi pendakwaan ke-39 itu dalam pernyataan saksinya berkata, dalam tempoh Mei hingga Ogos tahun berkenaan, beliau tidak lagi aktif melibatkan diri dalam pengurusan SRC International.

"Saya meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan cara pengurusan syarikat yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil terutamanya berhubung akaun dan kewangan syarikat.

"Kebanyakan tindakan berkaitan SRC International dilakukan oleh Nik Faisal selaku Ketua Pegawai Eksekutif ," katanya dalam perbicaraan hari ke-21 melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Terdahulu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Diperbadankan (KWAP), Datuk Azian Mohd. Noh tidak menafikan bahawa bekas Perdana Menteri itu mempunyai pengaruh dalam keputusan yang dibuat oleh perbadaan itu berhubung pinjaman kepada SRC International.

Azian ketika disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd. Yusoff berkata, selaku Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, Najib mempunyai pengaruh ke atas kelulusan permohonan pinjaman yang dibuat pada tahun 2011 dan 2012.

"Pernyataan dalam surat permohonan pinjaman (SRC International) adalah daripada perdana menteri dan menteri kewangan yang bertanggungjawab terhadap KWAP dan beliau adalah 'ultimate boss' saya, jadi saya tidak dapat menafikan ada pengaruh tertentu.

"Biarpun begitu, sama ada mempunyai pengaruh atau tidak, saya tidak akan melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang, "kata saksi pendakwaan ke-38 itu.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International. - UTUSAN ONLINE.