A. Raja Kumar, 34, dihukum penjara lima tahun dan sebatan sekali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merompak rantai emas milik [email protected] Abdullah, 63, dengan bersenjatakan sebilah pisau, Oktober tahun lalu.

Hakim Zamri Bakar memutuskan demikian terhadap Raja Kumar selepas mendapati pihak pembelaan gagal mewujudkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Zamri dalam keputusannya berkata, pembelaan tertuduh yang menyatakan dia tidak berada di tempat kejadian sekali gus menafikan merompak rantai leher mangsa kerana berada di tempat kerja adalah isu yang sengaja dibangkitkan di peringkat pembelaan dan wajar ditolak.

“Berhubung isu tertuduh yang didakwa dianiaya oleh bekas kekasihnya yang merupakan anak mangsa, dakwaan itu gagal dibuktikan secara sahih oleh undang-undang. Mangsa dan cucu mangsa (pengadu) sememangnya mengenali tertuduh dan kejadian berlaku pada siang hari dalam jarak yang dekat,” katanya yang memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, Raja Kumar didakwa merompak seutas rantai leher emas milik Faridah di Blok D, Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Setapak di sini pada pukul 9.30 pagi, 29 Oktober 2017.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan juga boleh didenda atau sebat.

Terdahulu, lelaki itu merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan sudah menyesal atas perbuatannya selain perlu menjaga keluarga termasuk ibunya yang sudah tua, namun Timbalan Pendakwa Raya, Noor Jazilah Mohd. Yushaa memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dan pencegahan dengan mengambil kira trauma serta kerugian yang dialami mangsa.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah pergi ke rumah mangsa dan meminta wang RM2,000 daripada mangsa namun warga emas itu memberitahu dia tidak mempunyai wang menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.

Tertuduh yang naik berang telah mengeluarkan sebilah pisau kecil lalu meletakkan senjata itu di leher mangsa sebelum menarik seutas rantai emas yang dipakai wanita itu dan melarikan diri.

Seramai tiga saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan iaitu tertuduh dan adik lelakinya dipanggil memberi keterangan pada prosiding perbicaraan bermula 14 Mei lalu. - UTUSAN ONLINE