Atas perbuatannya itu, Mohammad Saley Mohd. Kasim, 31, hari ini dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang dekat sini setelah dia mengaku bersalah atas perbuatan yang dilakukan di Jalan 6/6, Pandan Komersial, Pandan Indah dekat sini kira-kira pukul 8 malam, 8 September lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki warga Myanmar itu didakwa dengan sengaja mencederakan rakan senegaranya, Mohamad Ali Sayad Ahmad dengan kakinya sehingga menyebabkan mangsa cedera parah.

Mengikut fakta kes yang dikemukakan di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali, kejadian berlaku setelah timbul pertengkaran antara Mohammad Saley dan mangsa hanya kerana tidak berpuas hati dengan jaringan gol perlawanan bola sepak yang disertai oleh kedua-duanya.

Tertuduh telah menendang mangsa berulang kali sehingga rakannya itu mengalami keretakan tulang belakang dan telah dirawat di Hospital Ampang dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hashimah Hashim mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Mohammad Saley yang tidak diwakili peguam merayu hukuman penjara yang ringan atas alasan telah berkahwin dan mempunyai seorang anak malah turut memohon maaf kepada mahkamah atas kejadian yang berlaku disebabkan perselisihan faham.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkapnya, semalam. - UTUSAN ONLINE