Lima pihak yang dinamakan sebagai defendan ialah pegawai perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang, pengarah hospital itu, doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor serta kerajaan Malaysia

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad memutuskan demikian di dalam kamar hakim di sini dengan dihadiri peguam Mohamad Zainuddin Abu Bakar yang mewakili remaja malang itu selaku pihak plaintif.

Mohamad Zainuddin ketika ditemui pemberita berkata, mahkamah membenarkan permohonan berkenaan dengan alasan tiada isu untuk dibicarakan selain proses berkhatan itu dilakukan di luar hospital dan kerajaan tidak bertanggungjawab atas kejadian tersebut.

“Pihak kami akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah hari ini. Kami akan menggunakan peluang dan ruang yang ada demi keadilan anak guam,” katanya.

Plaintif melalui ibunya memfailkan saman pada 19 Julai tahun lalu terhadap seorang pembantu perubatan dan lima lagi kerana cuai sehingga menyebabkannya mengalami kecacatan kekal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan plaintif, remaja yang berumur 10 tahun ketika kejadian mendakwa defendan pertama tidak mengikut prosedur yang ditetapkan kerana telah memotong keseluruhan kepala kemaluannya atau ‘glans penis’ kemudian membuat penyambungan semula dengan menjahitnya tanpa mengikut prosedur yang betul. - UTUSAN ONLINE