Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Anwar selaku plaintif berkata, Mazlan dan Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3) yang merupakan defendan pertama dan kedua kes saman itu telah mengemukakan cadangan penyelesaian dan pihaknya juga telah membuat cadangan balas penyelesaian.

“Buat masa ini, hanya defendan pertama dan kedua yang mencadangkan penyelesaian sementara peguam defendan ketiga (Utusan Melayu (M) Bhd.) memaklumkan akan mendapatkan arahan selanjutnya mengenai perkara sama. Harap Jumaat ini satu penyelesaian dapat direkodkan,” ujarnya kepada pemberita selepas pihak-pihak terlibat bertemu dengan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Faizah Jamaludin di kamar hakim di sini.

Sementara itu, peguam Azhar Arman Ali yang mewakili Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) mengesahkan perkara tersebut dan turut mengulangi kenyataan akan mendapatkan arahan selanjutnya daripada anak guamnya.

“Terdapat perbincangan serius antara defendan pertama serta kedua dengan plaintif dan perbincangan itu tidak membabitkan UMMB. Oleh itu saya telah diarahkan untuk mendapatkan arahan lanjut sama ada hendak teruskan kes atau sebaliknya. Jika tiada penyelesaian, kes akan diteruskan dengan hanya UMMB tinggal sebagai defendan,” katanya.

Pada 15 Oktober 2015, Anwar, 71, memfailkan saman itu dengan menamakan Mazlan yang juga bekas Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), TV3 dan UMMB atas dakwaan memfitnah beliau dengan me­ngaitkannya terlibat dengan ra­suah membabitkan badan kehakiman dan Pejabat Peguam Negara.

Dakwaan tersebut hanya diketahui selepas berita mengenainya disiarkan menerusi Buletin Utama pada 2 Ogos 2013 dan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2013.

Plaintif mendakwa, Mazlan mengadakan persidangan akhbar yang mengandungi perkataan fitnah yang serius dan berniat jahat membawa maksud beliau seorang yang tidak beretika, terlibat dalam rasuah, melakukan aktiviti berunsur jenayah, tidak jujur dan tidak bermoral.

Anwar menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta perintah injunksi yang menghalang defendan daripada mengulangi atau menyiarkan semula perkataan fitnah itu.