Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke Yee Ching yang mewakili kerajaan memberitahu pemberita, keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Wong Chee Lin di kamar hakim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Menurut Alice, Global Royalty Trading SAL (Global Royalty) perlu meminda pernyataan tuntutan mereka untuk memasukkan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua dalam prosiding tersebut.

Ditanya sama ada kerajaan akan memfailkan permohonan untuk membatalkan itu, Alice berkata, pihaknya perlu melihat terlebih dahulu pernyataan tuntutan terpinda yang akan dibuat oleh Global Royalty selaku pihak plaintif yang diwakili peguam Datuk David Gurupathan.

Sehubungan itu, Global Royalty perlu meminda pernyataan tuntutan mereka untuk memasukkan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua dalam prosiding tersebut.

Kerajaan Malaysia memohon untuk menjadi pencelah dalam kes saman syarikat pemborong barangan kemas dari Lebanon terhadap isteri bekas Perdana Menteri atas alasan kerajaan mempunyai kepentingan dalam kes itu memandangkan barang kemas yang dirampas itu milik kerajaan.

Global Royalty dalam saman yang difailkan pada 26 Jun lalu mendakwa, kebiasaannya pihaknya akan menyerahkan barang kemas kepada pelanggan tetapnya itu untuk dinilai dan akan membeli barangan yang dipilih olehnya.

Pembayaran sama ada dibuat sendiri atau melalui pihak ketiga dan memulangkan baki barang kemas yang tidak dipilih kepada pihak plaintif.

Pihak plaintif mendakwa, Rosmah dalam surat bertarikh 22 Mei lalu mengesahkan, menerima 44 barang kemas itu namun kini  tidak lagi berada dalam miliknya kerana telah disita oleh polis.

Sebagai pengirim, pihak plaintif mendakwa mengekalkan hak miliknya  ke atas barang kemas yang telah disita akan dilucut hak oleh pihak ketiga yang tidak berkaitan dengan perjanjian antara plaintif dan defendan.

Sehubungan itu, pihak plaintif menuntut enam perintah perisytiharan antaranya, sebagai pemilik sah ke atas barang kemas itu dan harta tersebut tidak berpindah kepada defendan dan perintah mandatori supaya barang kemas dipulangkan kepada pihak plaintif.

Secara alternatif, jika barang berkenaan tidak boleh dituntut atau dipulangkan secara penuh atau sebahagian kepada pihak plaintif, maka pihak defendan bertanggungjawab membayar semula kepada pihak plaintif, kos barang-barang kemas RM59,831,317.40 (AS$14,787,770) mengikut kadar Maybank Bhd. pada 13 Jun lalu dan faedah lapan peratus.

Sementara itu, permohonan Rosmah untuk membatalkan Global Royalty akan didengar 11 Oktober ini. - UTUSAN ONLINE