Tengku Sulaiman Tengku Abdul Halim, 60, memohon kebenaran merayu itu bagi mengembalikan semula saman itu ke Mahkamah Tinggi Terengganu untuk perbicaraan selepas dibatalkan pada 21 Dis tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif memutuskan persoalan undang-undang berhubung pewarisan takhta merupakan isu yang telah dimuktamadkan dan isu itu tidak boleh diadili.

Beliau juga berkata berdasarkan fakta kes itu, prinsip res judicata (perkara yang telah diadili oleh mahkamah dan tidak boleh dilitigasi semula) terpakai dalam kes ini.

Hakim Raus memerintahkan Tengku Sulaiman membayar kos RM15,000 kepada Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Isa @ Ghazali Endut, Tengku Ibrahim Tengku Hussain, Syed Omar Abdul Kadir Al-Idrus dan Shaikh Harun Shaikh Ismail yang merupakan ahli Dewan Pangkuan Diraja Terengganu dan membayar kos RM15,000 lagi kepada kerajaan negeri Terengganu. = BERNAMA