“Dan batasan tersebut perlu ditentukan oleh Mahkamah. Anak guam saya (Datuk Seri Najib Tun Razak) sedang memasuki zon peperangan diikuti dengan segala publisiti yang tidak diperlukan. Perintah larangan ini akan menghalang media dan orang awam daripada terus menghirup oksigen publisiti ini,” ujar peguam bela, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mewakili Ahli Parlimen Pekan itu dalam permohonan untuk mendapatkan perintah larangan terhadap media dan orang awam daripada menerbitkan perbincangan berkaitan merit kes pecah amanah, salah guna jawatan dan pengubahan wang haram yang dihadapi anak guamnya.

Terdahulu, Muhammad Shafee memberitahu Najib, 65, berhak untuk mendapat perbicaraan adil tanpa ada sebarang komen atau liputan berita yang boleh mempe­ngaruhi mana-mana pihak terutamanya saksi.

“Sebagai contoh Yang Arif, pada ketika saya masih lagi berhujah di hadapan Yang Arif, dalam laman sosial Twitter sudah berkicau pelbagai komen bukan sahaja terhadap anak guam saya tapi kepada saya juga. Ini adalah contoh kenapa perintah sekatan di­perlukan,” ujarnya.

Tidak cukup dengan kecaman daripada orang awam, kes Najib ini turut menerima pelbagai komen dari Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd. Shukri Abdull; Peguam Negara, Tommy Thomas; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen, Tony Pua.

“Mereka membuat komen yang kasar dan pedas terhadap anak guam saya. Jadi bagaimana anak guam saya hendak mendapat perbi­caraan yang adil,” ujar Muhammad Shafee.

Ketua Unit Bicara dan Ra­yuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria ketika membantah permohonan tersebut menyatakan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menghalang orang awam bercakap mengenai kes Najib.

Beliau turut berhujah, tindakan mengongkong media tempatan dan antarabangsa daripada melaporkan perbicaraan kes itu adalah bertentangan dengan kebebasan media.

“Permohonan pihak pem­belaan lebih menjurus kepada menjaga kepentingan anak guamnya dan bukannya bertujuan untuk menjaga proses perundangan dan sistem kehakiman. Tiada sebarang bukti jelas atau risiko nyata yang dikemukakan bahawa proses keadilan akan terganggu,” katanya.