Muhammad Safuan Mohd., 29, didakwa memberi sokongan kepada Daesh dengan melafazkan sumpah setia melalui aplikasi Telegram ‘Gagak Hitam’ atas nama Abu Marwan Salaki di rumahnya di Jalan Matahari U5/102, Seksyen U5 (Panasu­ria), Petaling, Selangor kira-kira pukul 3.29 pagi, 30 Mac 2016.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara sehingga 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan untuk diguna bagi melakukan kesalahan itu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa memiliki 72 buah rakaman video, 19 keping gambar dan 416 naskhah dokumen dalam telefon bimbit Lenovo miliknya yang berkaitan dengan Daesh di tempat letak kenderaan blok kediamannya, kira-kira pukul 7 malam, 6 Oktober tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 130JB(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana item tersebut.