Jeritan tersebut dijeritkan oleh sekumpulan lelaki ketika cuba menyerang jentera Fire Rescue Tender (FRT) sewaktu rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Menceritakan lanjut, Mohd. Sharol berkata, setibanya di lokasi kejadian, dia terus terjun dari kenderaan itu untuk mema­­damkan kebakaran kereta se­perti melakukan operasi pe­madaman biasa.

Bagaimanapun, sejurus turun daripada kenderaan FRT, dia melihat tiga lelaki memakai topi keledar meluru ke arahnya dengan memegang batang besi dan objek seakan-akan pedang samurai diikuti sekumpulan lagi lelaki di belakang semua individu tersebut.

“Saya tergamam ketika itu dan terdengar mereka menjerit ‘jangan padam, pukul bomba’. Menyedari terasa terancam, saya yang ketika itu memegang pintu pada tangan kanan terus menaiki semula jentera FRT.

“Apabila saya menaiki jentera, saya hanya duduk seketika di bahagian tepi dan terde­ngar bunyi serangan. Saya yang ketakutan, terus mengubah kedudukan di bahagian tengah sebelum kenderaan terus me­ngundur bagi mengelakkan dari­pada terus diserang,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Zhafran Rahim Hamzah.

Dalam pada itu, Mohd. Sharol berkata, apabila dia duduk di bahagian tengah, penyelia pasukan, Badrul Hisyam Salim memarahinya kerana sebelum itu ada memaklumkan supaya jangan turun daripada jentera. Pada masa itu, dia turut melihat cermin hadapan di bahagian penumpang telah pecah.

“Pada masa ini, saya ternam­pak van EMRS sudah berada di hadapan jentera dan melihat lebih 100 orang sedang mengerumuni kenderaan tersebut di bahagian kiri dan kanan. Selepas itu, saya tidak tahu apa berlaku kerana jentera FRT telah mengundur secara perlahan-lahan dan seterusnya menuju ke Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya.

“Setibanya di sana, penyelia (Badrul) telah membuat panggilan baris dan mendapati Muhammad Adib (Mohd. Kassim) tiada. Sejurus itu, penyelia telah mengarahkan anggota bomba bernama Rosliadi cuba menghubungi Muhammad Adib.

“Panggilan ini tidak berjawab sebanyak tiga kali dan hanya panggilan seterusnya dijawab oleh orang awam dan mereka mengatakan sedang dalam perjalanan ke Subang Jaya Medical Centre dan memaklumkan bahawa Muhammad Adib dalam keadaan 50-50,” ujarnya.