Saksi ke-19, Chan Wei Jie, 24, berkata, Perodua Kancil yang dinaikinya dan dipandu bapa saudaranya itu mengalami ke­rosakan teruk antaranya pada bampar depan selain cermin tingkap dipecahkan.

Katanya, beliau dan bapa saudaranya dalam perjalanan pulang dari USJ 16 ke USJ 21 pada 1.15 pagi ketika kejadian.

“Pada mulanya, (perusuh) ha­nya mengelilingi dan menje­rit. Seorang lelaki kemudian memanjat bahagian depan (bo­net) kereta,” katanya semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin yang juga pegawai pengendali pada prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Katanya, beliau kemudian keluar dari kereta memandangkan ada serpihan (selepas cermin tingkap kereta dipecahkan) dan kemudian berdiri di tepi jalan.

Faten: “Semasa anda berbuat demikian, di manakah bapa saudara anda?”

Chan: “Masih di dalam ke­reta. Orang ramai berteriak macam-macam ke arah bapa saudara saya. Ada yang menyuruhnya ‘jalan’ dan ada yang meminta ‘berhenti dan turun’”.

Faten: “Selain berteriak, ada­kah mereka lakukan apa-apa terhadap kereta?”

Chan: “Mula-mula tiada, mereka hanya mengelilingi kereta dan menjerit ke arah kami namun selepas bapa saudara saya cuba menghidupkan kereta mereka mula memukul kereta dengan tangan dan kayu.”

Chan berkata, selepas kumpulan itu berhenti menyerang kereta, tiga individu daripada kumpulan tersebut membantu Chan dan bapa saudaranya ma­suk semula ke dalam kereta.

Beliau juga berkata, beberapa individu daripada kumpulan itu kemudian meminta maaf kepada beliau dan bapa saudaranya serta meminta mereka membuat laporan polis.

Chan berkata, beliau dan pak­ciknya kemudian terus ke balai polis USJ 8 selepas kejadian.

Katanya, sebelum serangan, beliau mendengar bunyi kende­raan berlanggar semasa kende­raan Fire Rescue Tender (FRT) bergerak mengundur.

Menurut saksi tersebut, ketika itu keretanya berada pada jarak lima hingga enam buah kenderaan dari trak tersebut.

Faten: “Adakah trak (FRT) melanggar kereta anda?”

Chan: “Ya, kereta saya terpusing 180 darjah (selepas dilanggar oleh trak FRT).”

Prosiding inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung 19 Mac ini.

Setakat ini 19 saksi telah dipanggil memberi keterangan pada prosiding yang bermula 11 Februari lalu. – BERNAMA