Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit berkuat kuasa hari ini sehingga 2 Jun depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, lelaki yang juga bapa tiri mangsa berusia 28 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 10 pagi bersama-sama isterinya yang berumur 23 tahun.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes kematian kanak-kanak lelaki, Muhammad Aqil Hairi Mohd. Azrul Epindi, 2, yang dipercayai akibat didera dalam kejadian di Batu 19 3/4 Jalan Yan, Guar Chempedak.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, lelaki yang juga penganggur tersebut didapati positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai dua rekod jenayah lampau.

“Ujian air kencing terhadap ibu kandung mangsa yang ditahan bagi membantu siasatan turut positif dadah jenis sama,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, tinjauan ke rumah keluarga mangsa mendapati kediaman tersebut tidak berpenghuni dan berkunci.

Seorang ahli keluarga, Yusuf Kassim, 70, yang tinggal berdekatan berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan kanak-kanak terbabit telah meninggal dunia.

“Saya tidak sangka mangsa menjadi mangsa dera kerana semasa saya nampak kanak-kanak itu tiga hari sebelum kejadian, dia kelihatan sihat malah tidak mendengar bunyi pelik selain tangisan biasa kanak-kanak dari rumah tersebut.

“Mereka jarang bergaul dan banyak berada di dalam rumah selain saya ada nampak beberapa individu tidak dikenali sering keluar masuk dari rumah berkenaan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE